Alhamdulillah,akhirnya selesailah saya membaca dan menghayati mutiara
kata dan nasihat-nasihat daripada Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani ini.
Buku ini saya dapatkannya dari Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM. Pada
mulanya, perancangan ialah ingin mencari buku berkaitan aliran Tariqat,
tetapi apabila terjumpa buku ini, hati ini tertarik rasanya ingin
membacanya kerana Syeikh Abdul Qadir adalah ahli sufi yang amat terkenal
didunia islam.
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani atau nama sebenar beliau ialah Muhyiddin
Abu Muhammad Abdul Qadir. Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW melalui
puteri Baginda Siti Fatimah Al-Zahra. Beliau adalah seorang ahli sufi
yang tidak asing lagi di dunia islam, sehinggakan terdapat satu aliran
Tariqat yang diasaskannya iaitu Tarikat Qadariah. Tulisan, nasihat dan
buah fikiran beliau berkenaan dengan ketuhanan dan tasawuf sentiasa
mendapat perhatian dan menjadi rujukan walaupun ianya telah berlalu
lebih kurang 900 tahun yang lampau. Sama-samalah kita hayatinya dan
semoga kita semua dapat mengambil sedikit pengajaran daripada tulisan
ini.
TUNDUKKAN NAFSUMU SEBELUM ENGKAU DITUNDUKKANNYA.
Sesungguhnya, siapa yang ingin memperbaiki dirinya, maka hendaklah dia
berlatih memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman
nafsu kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan.
Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain.
Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan
dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki
Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang
lain, sedangkan engkau buta untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana
seorang yang buta dapat memimpin orang lain.
“Wahai hati…! Wahai roh…! Wahai manusia..! Wahai jin…! Wahai orang-orang
yang berharap kepada Maha Raja..! Marilah kita ketuk pintu Maha Raja.
Bersegeralah kamu kepada-NYA dengan tapak hatimu, dengan tapak takwa dan
tauhid kamu, makrifat dan kewarakan kamu yang tinggi, kezuhudan kamu di
dunia, di akhirat dan didalam sesuatu selain daripada yang berkaitan
secara langsung dengan Tuhanmu”.
Ketahuilah…! Bahawa taubat itu adalah pusat kekuasaan dan menyesali
segala perbuatan. Tanggalkanlah baju kederhakaanmu itu dengan taubat
yang tulus ikhlas. Jika engkau bertaubat, hendaklah taubat itu lahir
dari hatimu, bertaubatlah engkau zahir dan batin.
SEGERA MENCAPAI PINTU TAUBAT
(Ahad,10 Syawal 545 H)
Sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa yang dibukakan pintu kebaikan, maka hendaklah dia
mencapainya, kerana sesungguhnya ia tidak mengetahui, bila pintu itu
akan tertutup baginya”
Wahai pemuda. “Bertaubatlah kamu. Bukankah kamu telah melihat, bahawa
Allah akan menguji kamu dengan berbagai dugaan hingga kamu bertaubat…?
Sementara engkau tidak berfikir, mlahan engkau bertahan dalam
kederhakaanmu itu.
-SAQJ berkata : “Tetaplah engkau untuk sentiasa redha dengan Allah,
dalam keadaan petaka atau sengsara, dalam keadaan miskin atau kaya,
dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam
keadaan buruk atau baik, ketika memperoleh yang engkau kehendaki atau
tidak. Aku tidak tahu ubat apa yang sesuai untukmu, selain daripada
menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah yang Al-Haq. Jika dia
menetapkan sesuatu yangmerugikan kamu, janganlah kamu benci kepada-NYA
serta jangan pula kamu menjauhkan diri daripadanya.Kerana semua itu
adalah ujian dan cubaan terhadapmu.
-jika sedar dan berubah,pasti Allah menukarkan kegelisahmu dengan
ketenangan dan jiwamu akan menjadi tenang,tenteram dalam
mentauhidkan-Nya.
Jika Al-Haq menghendaki agar hambanya menjadi baik, maka Dia akan
memberikan Hidayah, mengajar mereka, mengawasi mereka, menerangi mereka,
memberikan kesempatan kepada mereka, mendekatkan mereka kepada-Nya dan
memberikan sinar kedalam hati mereka.
Celakalah kamu, kamu membaca dan menghafal sunnah Rasulullah, tetapi
kamu tidak mengamalkannya. Engkau menyuruh manusia mengerjakan kebaikan
sedangkan engkau sendiri tidak melakukannya.
Seperti Firman Allah SWT dalam surah Al-Shaf ayat 3 yang bermaksud :
“Sebesar-besar kebencian Allah, ialah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”
Sesiapa yang telah beramal sehingga kemudian mereka mencapai satu
kedudukan(maqam) dimana tiada lagi perintah ataupun larangan. Tidak
henti-henti mereka menyendiri(khalwat) bersama ALLAH. Kerana
meninggalkan ibadah-ibadah wajib, bermakna seorang itu telah jatuh
Zindiq. Tidak ada kewajipan yang gugur dari seseorang, walau dalam
keadaan bagaimana juapun dia, atau apa pun tahap dan maqamnya.
Wahai kaumku, Ambillah nasihat dari Al-Quran itu dengan mengamalkannya,
bukan dengan mendiskusi, memperdebat, atau menseminarkannya.
“Tidak akan ada kebahagiaan di hatimu, apabila disana bersemayam sesuatu
selain Allah, bahkan seandainya kamu sujud selama seribu tahun diatas
bara api sekalipun, sementara hatimu kepada selain Allah, maka hal itu
tidak bermanfaat kepadamu.
Hati..! Hatilah yang beriman…! Hatilah yang mengesakan Allah…! Hatilah
yang memurnikan aqidah..! Hatilah yang ikhlas…! Hatilah yang bertakwa…!
Hatilah yang memelihara diri daripada yang Haram dan Syubhat…! Hatilah
yang yakin…! Hatilah yang zuhud…! Hatilah yang arif…! Hatilah yang
beramal…! Hatilah yang memimpin seluruh tubuh manusia, sementara seluruh
anggota adalah anggota pasukan dan pengikutnya. Oleh itu, jika kamu
ingin menyucapkan LAILA HAILLALLAH, maka lebih dulu hendaklah kamu
ucapkan dengan hatimu, kemudian kamu iringinya dengan lidah.
Jihad Batin – Lebih berat dari jihad zahir kerana jihad batin adalah
satu jihad yang berterusan. Bermaksud memutuskan semua kehendak dan
dorongan hawa nafsu untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang serta
mengekang keinginan terhadapnya.
Wahai hamba…! Setiap yang engkau pandang sebagai kebaikan dan engkau
mencintainya, maka cintamu itu adalah bukan cinta yang sejati. Engkau
sedang terpedaya. Cinta yang hakiki adalah cinta yang tidak berubah,
iaitu cinta kepada Allah, yakni cinta yang engkau lihat dengan dua mata
hatimu, iaitu cinta para Al-Shiddiqin Ruhaniyyin. Mereka tidam menyintai
dengan keimanan mereka, tetapi dengan keyakinan dan mata hati mereka.
Terbukalah hijab yang menyelubungi mata hati mereka, sehingga mereka
mampu melihat apa yang ada di alam ghaib, melihat sesuatu yang tidak
mungkin bagi mereka untuk menjelaskannya.
Seorang yang berzuhud dan berada pada tahap permulaan, mesti
menghindarkan diri daripada semua manusia dan orang-orang fasiq yang
melakukan maksiat. Tetapi setelah mencapai tahap kesempurnaan, dia tidak
akan menghindarkan,diri bahkan dia akan mencari mereka kerana penawar
mereka itu ada padanya. Kerana apabila seseorang itu telah mengenal
Allah, dia tidak akan menghindar dari sesuatu apapun dan tidak akan
takut selain daripada Allah. Barangsiapa yang sudah sempurna ma’rifatnya
kepada Allah, maka ma’rifat itulah yang akan menjadi pemandu baginya.
Seseorang bertanya kepada Syeikh bagaimana untuk mengeluarkan cinta kepada dunia.
“Hendaklah engkau melihat dengan kedua-dua mata hatimu kepada cacat-cela
dunia ini. Perangilah hawa nafsumu hingga ia menjadi tenang. Jika
nafsumu telah tenang, maka engkau akan mampu melihat cacat-cela dunia
ini dan kamu akan bersikap zuhud terhadap dunia ini. Ketenangan itu akan
wujud jika engkau memandang dari hati dan menyesuaikannya dengan
bisikan batinmu.
“Jika engkau menginginkan kema’rifatan kepada Allah, maka engkau
redhalah dengan qada dan qadar-Nya, dan janganlah engkau jadikan nafsu,
syahwat, perangai, dan keinginanmu sebagai sekutu bagi-Nya dalam
kedua-dua hal tersebut.”
Ketahuilah bahawa para guru amal dan guru ilmu akan menunjukkan engkau
jalan menuju Allah. Langkah tahap pertama ialah dengan perkataan, dan
pada tahap kedua ialah dengan mengamalkannya. Dengan cara ini, engkau
akan bertemu dengan Allah.
Beramallah engkau kepadanya dan janganlah engkau mengharapkan pahala
yang banyak. Beramallah dengan tujuan untuk mencapai dan meraih
keredhaannya serta kedekata kepadanya. Pahala adalah keredhaan-Nya
kepadamu dan kedekatanmu kepada-Nya dunia dan akhirat.
Peringkat pertama ialah engkau belajar kepada makhluk berkenaan hokum.
Kemudian pada peringkat kedua hendaklah engkau belajar dari Khaliq
mengenai ilmu Ladunni, Yakni ilmu-ilmu yang khusus untuk hati dan batin.
Oleh itu carilah guru yang mursyid, kerana engkau tidak dapat belajar
tanpa guru.
Barangsiapa di antara kamu yang ingin menghidupkan hatinya, maka
hendaklah dia membiasakan berzikir kepada Allah didalam hatinya itu dan
hendaklah dia merasakan ketenteraman bersama-Nya.Wahai hamba…!
Berzikirlah engkau kepada Allah dengan hatimu sebanyak seribu kali dan
dengan lisanmu sekali.
Berzikir yang dilakukan hanya dengan lisan tanpa menggunakan hati, tidak
memberikan kemuliaan kepadamu. Zikir adalah zikir hati dan zikir batin,
kemudian zikir lisan. Berzikirlah kamu kepada-Nya, sehingga zikir itu
melebur dosa-dosamu, dengan demikian engkau tidak menanggung dosa sama
sekali.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar